SOSIAL MEDIA

31 July, 2024

Farhana Ali Lahirkan " I Need You " Jadi Simbolik Keinsafan & Pujian Buat Allah Yang Maha Esa


KUALA LUMPUR, 29 JULAI 2024 - Merdu alunan suara memuji yang Maha Esa lewat bait lagu “I Need You” yang dibalut nuansa Pop dan Balada menjadikan Farhana Ali satu-satunya penyanyi wanita solo mengetengahkan genre kerohanian yang ‘cantik’ di pendengaran.

 

Lebih ‘cantik’ apabila Farhana Ali meneruskan persona dengan menyajikan mesej positif lalu menyuntik suasana segar namun penuh keinsafan dalam karyanya kali ini.

 

Kerana itu setelah lagu “Alhamdulillah, It’s Ramadan” berjaya menawan hati pendengar, penyanyi cantik berambut ikal ini tampil dengan buah tangan kedua yang diberi judul “I Need You”.

 

Wanita kelahiran United Kingdom ini berbesar hati kerana menandatangi kontrak bersama label Masyhur; sebuah label yang berilhamkan iman di bawah pengurusan Universal Music Malaysia kerana bersesuaian dengan konsep yang ingin disampaikan kepada pendengar seluruh dunia.

 

Menurut Farhana, sebaik diberi peluang bersama Masyhur, dia mahu memastikan yang dia kekal menyampaikan mesej-mesej bermanfaat termasuk kata-kata pujian buat Allah SWT yang disampaikan dalam setiap karyanya.

 

“I Need You”, kata Farhana ditujukan khas untuk memuji kebesaran Allah SWT dan kata ‘I Need You’ atau ‘saya perlukan Allah’ adalah bukti bahawa makhluk bernama manuasia akan selalu memerlukan Allah SWT dalam kehidupan sama ada susah ataupun senang.

 


“I Need You” adalah bukti kebesaran Allah SWT. Sebagai manusia biasa, segala sesuatu yang diperoleh dalam dunia ini sama ada susah atau senang, baik atau buruk semuanya datang daripada Allah SWT.

 

“Maka jangan pernah sekali kita melupakan Allah SWT. Mengalunkan baik lagu “I Need You” akan selalu mengingatkan kita sebagai hamba yang pada akhirnya segala keinginan bakal termakbul dengan kuasa Allah yang Esa. 

 

“Jadi marilah kita melahirkan kesyukuran dan memuji Allah SWT dalam alunan lagu yang mendamaikan seperti dalam I Need You,” ujar Farhana.

 

Menurut Farhana lagi, dia mengambil masa yang agak lama untuk menyudahkan I Need You berbanding karya sebelum ini.

 

“Saya memulakan lagu ini dengan menggarap korus terlebih dahulu. Hampir setahun kemudian baru saya hasilkan bahagian verse. Saya mengambil masa yang agak lama terhadap pembikinan lagu ini kerana mahu mencari perkataan yang sesuai dan apabila dinyanyikan ia kedengaran cantik kerana I Need You adalah karya khusus memuji Allah SWT. Jadi saya mahu setiap bait perkataan atau lirik yang digunakan dalam I Need You apabila ‘menikah’ dengan melodinya, ia serba serbi cantik dan mendamaikan,” jelas Farhana.

 


Menjadikan I Need You terasa lebih damai adalah apabila video klipnya dirakamkan di Mons Klint, Denmark. 

 

Farhana juga polos dalam gaun panjang putih yang menjadi perlambangan kelahiran manusia di dunia bersih putih sebelum mencorakkannya sendiri sepanjang kehidupan serta kesucian hati kerana sentiasa memuji kebesaran Ilahi.

 

Pemandangan indah di antara desiran pantai bersama ‘perhiasan’ batu-batuan dan tebing nan mempersona ‘bersanding’ dengan kehijauan hujan yang sungguh mengasyikkan menambah elemen pujian dan kesyukuran yang disampaikan dalam I Need You.

 

Memilih menebarkan mesej bermanfaat dan kebaikan serta peringatan menerusi medium hiburan, Farhana menyifatkan ia sebagai salah satu saluran terbaik untuk mengajak sekaligus menyentuh banyak hati di dunia untuk selalu mengingati Allah SWT.

 

“Kita selalu ditenggelamkan dengan kesibukan dunia seperti bekerja atau dikecewakan manusia. Tapi akhirnya hanya Allah yang sentiasa menjaga dan tidak pernah melupakan kita sama ada kita melalui hari dalam keadaan baik atau buruk. Allah akan selalu ada.

 

“Dan sebagai manusia kita harus bersyukur kerana sesusah apapun dugaan hidup atau nikmat besar yang diperoleh, semuanya adalah atas pengetahuan Allah.

 

“Maka kembali lagi kita kepada Allah untuk berterima kasih dan bersyukur dengan semuanya,” ujar Farhana.

 

Dengan kelahiran I Need You, Farhana Ali mempunyai harapan besar agar lagu yang telah dipasarkan dan diperdengarkan di corong-corong radio tempatan dapat diterima baik malah menjadi sedatif yang baik buat hari-hari pendengar yang penuh kelam dan sukar.