Lagu yang sama dengan bahasa yang berbeza merupakan taruhan terbaru Rocketfuel Entertainment & Sony Music Malaysia
KUALA LUMPUR, 28 Jun 2024 – Label hiburan tanah air paling berpengaruh masa kini, Rocketfuel Entertainment bersama-sama Sony Music Malaysia bersepakat menjalinkan usahasama bagi melahirkan runut bunyi untuk X-Changed.
Drama bersiri ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Arfie Shah sebagai Khalif, Joey Long sebagai Lilian, Dato’ Rosyam Nor sebagai Yakob, dan Marisa Yasmin sebagai Mariam. Penyanyi muda yang kian mendapat perhatian, Adrianna Cinta muncul dengan single terbarunya yang bertajuk "Semesta".
Lagu ini mengisahkan seseorang yang sedang mencari dan mengenali dirinya dalam masa yang sama harus membuat pilihan besar dalam hidup sehingga dia merasakan tekanan dalam dirinya.
“Semesta menceritakan seseorang yang sedang mengalami krisis dengan diri sendiri, selalu rasa sedih dan menangis pada waktu malam dan bila bangun pagi dia berharap semuanya akan berakhir.
Dia juga berharap semesta akan memihak kepada dirinya dan membimbing hidupnya.” jelas Adrianna. Adrianna turut berkongsi bahawa cabaran utama dalam menulis lagu ini adalah menentukan kisah siapa yang harus ditonjolkan dan bagaimana cerita tersebut harus disampaikan.
Setelah diberikan skrip filem "X-Change", Adrianna mengambil keputusan untuk menulis tentang watak utama yang sedang berhadapan dengan krisis memahami diri sendiri sehingga mengalami masalah seperti kemurungan.
Menurut Adrianna, proses penulisan lagu "Semesta" berlaku dengan sangat pantas. Dia berterima kasih kepada Farouk Roman yang merupakan komposer bagi lagu ini dan beliau sangat membantu dalam pembikinan lagu ini.
Menariknya, Adrianna hanya mengambil masa selama 30 minit untuk merakamkan lagu ini di studio, dan ini menjadikan rakaman lagu ini merupakan antara yang paling pantas pernah dilakukan olehnya.
Lebih istimewa lagi, runut bunyi untuk drama bersiri X-Changed ini bukan sahaja mempunyai versi Bahasa Melayu namun ianya turut mempunyai versi Bahasa Mandarin berjudul 迷雾 (Fog) yang dinyanyikan Joey Leong yang merupakan salah seorang pelakon untuk drama bersiri ini.
Menurut Joey, cabaran utama dalam merakam lagu ini adalah bagaimana beliau mahu menyampaikan lagu ini dari wataknya sendiri, Lilian. "Saya perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan emosi yang betul sebagaimana saya gambarkan penceritaan lagu dan juga keseluruhan drama bersiri ini."
Joey juga menyatakan beliau hampir menitiskan air mata kerana lirik dan lagu tersebut sangat dekat dengan dirinya. Selain itu, beliau berasa sangat gembira kerana pihak produksi telah memilihnya untuk menyanyikan lagu ini.
“Saya merasakan lagu ini sangat istimewa. Jadi, saya sangat-sangat berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyanyikan lagu ini.” kata Joey. Sepanjang pembikinan lagu ini juga segala-galanya turut mudah dan kerjasama bersama Farouk Roman memudahkan lagi proses rakaman yang dilakukan dalam versi Mandarin.