Pemenang Grammy R&B Terkenal Kembali Sekali Lagi Bertemu Peminat-Peminat Di Malaysia Atas Permintaan Ramai
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2024 – Selepas kejayaan konsert yang lalu, NE-YO akan kembali ke Malaysia pada 9 November ini untuk menghiburkan peminat-peminat yang tak boleh move on dengan lagu-lagu R&B yang tidak lapuk dimakan zaman.
‘NE-YO: Live In Malaysia’ 2024 bakal berlangsung di Plenary Hall, KLCC dibawakan sekali lagi oleh penganjur duo Hitman Solutions and Happymoon. Pemenang Grammy tersebut sangat terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh peminat-peminatnya di Malaysia terhadap konsert sebelum ini dengan ‘sold out’ pada hari pertama pelancaran tiket.
Sebagai tanda penghargaan, NE-YO kembali untuk memberikan persembahan yang lebih energetik dan menakjubkan untuk peminat setianya. Dalam kenyataan terkini, Encik Rohit Rampal, CEO & Pengasas Hitman Group, dan Encik Kesavan Purusotman (KC), Pengarah Urusan Happymoon, berkata,
"Berdasarkan sambutan yang luar biasa terhadap konsert NE-YO yang telah habis dijual sebelum ini, kami yakin bahawa NE-YO perlu kembali ke Malaysia untuk jelajah terbarunya. Media sosial kami dipenuhi dengan permintaan untuk mengadakan konsertnya sekali lagi, dan kami sangat gembira untuk memenuhi kehendak peminat-peminatnya.”
Mengimbas kembali kejayaan usaha mereka dalam genre rock, khususnya konsert terakhir Sum 41, kedua pengasas mendedahkan niat mereka untuk bekerjasama dalam genre popular lain.
Mengiktiraf daya tarikan yang berkekalan dalam R&B, terutamanya nostalgia terhadap era Y2K, mereka bercita-cita untuk menganjur satu konsert dalam genre tersebut yang dinantikan oleh rakyat Malaysia.
Penyanyi lagu popular ‘So Sick’ itu sedang membuat konsert jelajahnya di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, dan New Zealand dan hari ini penyanyi itu senaraikan Malaysia dalam konsert jelajah di negara Asia.
“Kami berharap peminat yang telah memberi sokongan kepada NE-YO dalam konsert sebelumnya akan kembali dengan semangat yang lebih membara, bersedia untuk menikmati konsert yang penuh bertenaga dan kenangan nostalgia bersama lagu-lagu klasik R&B pada tahun ini,” ujar Encik Rohit Rampal dan KC.
Bagi mereka yang berminat dengan konsert 'NE-YO: Live In Malaysia' 2024, penjualan tiket akan bermula pada 26 Jun 2024 dari jam 10AM di www.hitmanlive.com.
Kategori tiket konsert ini adalah seperti berikut: VIP (RM988), DIAMOND (RM648), PLATINUM (RM488) dan GOLD (RM288). Untuk sebarang pertanyaan berkenaan konsert ini, sila hubungi kami di 012-2655783