SOSIAL MEDIA

05 May, 2024

METAL NUSANTARA KUMPULAN FARASU BERAKSI PANAS DENGAN " MAJESTICA "


KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik metal berteraskan nusantara, Farasu bakal Kembali dengan mengadakan showcase buat julung kalinya setelah meriliskan album terbaharunya berjudul ‘Majestica’. Farasu yang ditubuhkan pada tahun 2002 berpengalaman mengadakan beratus persembahan pentas di dalam negara manakala sudah 33 kali membuat persembahan di luar negara secara indipendence antaranya Indonesia, Taiwan, China, Singapura dan juga Jepun.

 

Setelah lama tidak mengadakan persembahan pentas, Farasu bersama penganjur Rockstage Entertainment dengan Kerjasama Rocktone Studio dan Majestica Sembranica Production akan mengadakan showcase istimewa sempena pelancaran album terbaharu Majestica yang bakal berlangsung pada 23 Jun 2024 di Drum Asia, Bandar Sri Hartamas, Kuala Lumpur bermula jam 3 petang hingga 8 malam. Showcase yang dijangka akan mengumpulkan seramai 150 peminat muzik metal ini, lebih cenderung untuk memperkenalkan album ‘Majestica’ dan juga lagu-lagu yang terdapat di dalam album yang terdahulu.

 

Menurut Pengarah Urusan Rockstage Entertainment dan juga penganjur showcase ini, Encik Talib Othman, beliau merasa teruja untuk mengadakan showcase ini dan secara kebetulan Farasu begitu lama tidak mengadakan persembahan pentas. Farasu akan membuat persembahan selama satu jam lebih dan akan memainkan sebanyak 10 hingga 13 buah lagu.

 


“Farasu tidak bersendirian tetapi ditemani oleh 3 band selaku supporting act antaranya Sacred Sulphuric, Bunuhdiri dan Miseri Silentium. Ketiga-tiga band tempatan ini dipilih berdasarkan single dan juga album baharu yang mereka telah diriliskan. Peminat juga akan merasai kepelbagaian genre metal dalam showcase itu nanti.

 

“Alhamdulillah, reaksi peminat juga positif dan kebetulan Farasu sudah agak lama tidak perform show. Ini adalah hadiah Farasu buat peminat-peminatnya.” Kata Talib.

 

Berkenaan tentang karya terbaharu Farasu yang telah dimuatkan dalam album keempatnya berjudul ‘Majestica’, Talib turut menjelaskan album ini mengandungi 10 buah lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Farasu. Ia menyambung kisah-kisah sejarah tua tanahair yang menjadi subjek utama dalam karyanya untuk mengekalkan konsep Metal Nusantara mengikut garapan Farasu. Kisah-kisah tersebut diangkat untuk membawa anak bangsa mendekati persejarahan tanahair agar tidak lupa kepada jati diri selain mencetuskan kelainan dalam muzikal Metal peringkat dunia.

 

“Album keempat Farasu ini telah melalui proses rakaman secara profesional di Studio RK39 di Krubong, Melaka dengan sentuhan Rahmad Kamikaze selaku Sound Engineer yang juga merupakan penerbit bersama Farasu untuk album ‘Majestica’ ini. Proses mixing dan Mastering juga oleh Rahmad Kamikaze serta diterbitkan di bawah label Rockstage Entertainment.” Ujar Talib yang juga merupakan penerbit eksekutif untuk album ini.

 

Farasu secara rasminya dianggotai oleh Shah Z (Vokalis), Nahax (Gitar), Apai (Bass), Aman Keys (Kibod), Mus Fidaiyyin (Dram) dan Hazmeer (sessionist Gitar) turut merancang untuk mengadakan siri jelajahnya selepas showcase itu nanti.





“Insya Allah kami akan mulakan kembali gerak kerja kami untuk tour ke serata Malaysia dan mungkin akan kembali ke Indonesia, Taiwan, Jepun dan mana tahu kita berpeluang ke Negara Eropah juga serta negara-negara yang kami belum pernah jejak lagi.” Ujarnya.

 

Untuk info, Farasu bergerak secara aktif pada tahun 2003 melalui penglibatan pelbagai acara pentas 'underground' sepanjang tahun, Farasu turut melahirkan karya awal dengan penampilan demo 'A Millennium of Madness' pada bulan Mac 2003.

 

Farasu turut melalui cabaran dan pancaroba yang menjadi peristiwa-peristiwa penting perjalanan muziknya dengan pertukaran keanggotaan band selain pengalaman-pengalaman persembahan pentas di dalam negara dan luar negara di Singapura, Indonesia, Taiwan, Nepal, China dan Jepun.


 

Kepada peminat-peminat muzik metal jangan ketinggalan untuk menyaksikan persembahan Farasu ‘Majestica Launching Showcase’ yang bakal diadakan pada 23 Jun 2024. Farasu turut menampilkan band-band metal selaku supporting act seperti Sacred Sulphuric, Bunuhdiri dan Miseri Silentium. Tiket-tiket berharga RM50 boleh didapati di pintu masuk Drum Asia, Bandar Sri Hartamas, Kuala Lumpur, bermula jam 3 petang hingga 8 malam. Keterangan lanjut boleh diikuti di laman sosial rasmi Farasu.