Susulan pengumuman pengunduran Syasya daripada kumpulan DOLLA, Universal Music Malaysia dengan sukacitanya berkongsi khabar gembira mengenai pernikahan Syasya atau nama sebenar Norsyasya Afiqah Shahrizal, semalam.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, perancangan mendirikan rumah tangga juga menjadi antara faktor pengunduran Syasya daripada DOLLA.
"Terlebih dahulu terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan media, peminat dan sesiapa saja yang sudah menyokong kerjaya DOLLA dari awal sehingga kini.
"Tidak dinafikan pengunduran Syasya daripada DOLLA mengejutkan ramai. Namun, kami perlu akur akan keputusan dibuat empunya diri yang disifatkan terlalu peribadi.
"Ingin dikongsi berita gembira buat semua yang mana Syasya mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya pada hari ini. Ini juga antara faktor utama kenapa Syasya memilih untuk tidak lagi bersama DOLLA," katanya.
Pada masa sama, Universal Music Malaysia juga berharap berita itu menamatkan segala spekulasi yang beredar.
"Kita doakan semoga segala apa yang sudah dirancang Syasya akan berjalan lancar dan dipermudah. Diharap ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke jannah.
"Apa yang penting juga, semoga berita gembira ini menghentikan segala spekulasi tidak tepat yang timbul. Kami juga berharap agar semua pihak dan peminat akan terus menyokong kerjaya seni dan karya daripada DOLLA,” katanya.
Terdahulu, kumpulan itu menerusi hantaran di akaun rasmi mereka mengumumkan mengenai pengunduran Syasya pada 8 April lalu.
Dalam perkembangan lain, DOLLA berjaya mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia dalam sebuah pertandingan nyanyian membabitkan pelbagai kumpulan vokal di China menerusi program Show It All.
Menariknya, aksi lincah DOLLA ketika membuat persembahan menjadi tular selain meraih pelbagai pujian dan kata-kata semangat oleh peminat serta warganet.