KUALA LUMPUR, 28 April 2024 - ‘Incubus Live In Malaysia’, konsert jelajah Asia 2024 malam semalam adalah konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat. Setelah enam tahun, akhirnya band ini kembali ke Kuala Lumpur dan persembahan mereka telah dianjurkan oleh salah satu syarikat pengurusan konsert terkemuka Malaysia, Hitman Solutions. Persembahan yang menggemparkan pentas di Mega Star Arena KL pada 27 April 2024 merupakan lokasi ketiga dalam konsert jelajah ini.
Selepas beraksi di Jakarta pada 23 April dan Manila pada 25 April, Incubus masih memberikan persembahan dengan penuh tenaga di Kuala Lumpur tanpa sebarang kekurangan. Suasana di Mega Star Arena KL begitu menggemparkan apabila lebih daripada 5,000 peminat dari dalam dan luar negara memenuhi tempat tersebut bagi menyaksikan persembahan yang begitu nostalgia. Band yang ditubuhkan sejak 1991 itu memberikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan rata-rata peminat yang hadir ke konsert tersebut berasa sangat berpuas hati dengan persembahan yang dibawakan.
Menyaksikan kejayaan itu, Encik Rohit Rampal, CEO & Pengasas Hitman Solutions, menyatakan, "Selepas menganjurkan tiga konsert rock - UND3RGROUND, Sum 41: Tour of the Setting Sum (The Final Tour) dan Incubus Live in Malaysia pada tahun ini, kami melihat kebangkitan semula genre ini. Sambutan positif dari konsert-konsert anjuran kami adalah semangat untuk kami bawakan lebih ramai lagi artis antarabangsa ke Malaysia.”
Band rock pra-Y2K tersebut mempersembahkan lagu-lagu terbaik mereka seperti 'Drive', 'Anna Molly', dan 'Wish You Were Here'. Suara yang tidak boleh dilupakan oleh penyanyi utama Brandon Boyd ditemani pemain gitar Mike Einzinger, pemain dram José Pasillas serta penampilan baru pemain bass Nicole Row membuat penonton tidak duduk diam dari mula sehingga akhir konsert.
"Kami ingin membuka lebih banyak peluang untuk peminat-peminat lokal menyaksikan persembahan artis antarabangsa kegemaran mereka di Malaysia," tekankan Encik Rohit. "Teruja untuk menyediakan peluang seumpama ini bagi para peminat rock tempatan, dan Incubus pastinya memberikan persembahan yang luar biasa."
Memandang ke hadapan, Encik Rohit juga berkongsi, "Sebagai sebahagian daripada matlamat sambutan ulang tahun kami yang ke-15, kami bersedia untuk menjadikan tahun 2024 satu tahun yang besar dengan beberapa perancangan konsert yang akan datang serta genre muzik dan artis yang berbeza. Tahun ini bakal menjadi tahun penuh sambutan dengan menerokai lebih banyak lagi peluang untuk membantu industri muzik dan hiburan tanah air.
"Walaupun kami terus berkembang dalam genre dan arena rock, kami tidak lupa untuk melihat dan cuba membawakan genre muzik yang berbeza-beza. Edisi kedua Pinkfish Music and Arts Festival pada 8 Jun 2024, bakal menampilkan artis seperti Armin Van Buuren, Miss Monique, AVAO, dan Topic, menjanjikan satu festival muzik dan seni yang menarik untuk peminat festival di Malaysia dan negara-negara jiran."
Oleh itu, nantikan pengumuman-pengumuman tentang acara dan tarikh-tarikh akan datang."
Konsert 'Incubus Live In Malaysia' dijayakan dengan sokongan rakan-rakan penaja; Fly FM dan Hot FM (Radio Rasmi), serta sokongan daripada Rockstar Touring dan LAMC Productions.