SOSIAL MEDIA

02 August, 2023

DOLLA BERPANAS DEMI ' DAMELO '


KUALA LUMPUR, 4 OGOS 2023 - Baru sahaja memenangi Anugerah Kumpulan / Duo/ Kolaborasi Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang ke-35, kumpulan nyanyian wanita popular DOLLA sudah bersedia untuk projek yang baharu.

Anugerah Bintang Popular merupakan salah satu anugerah industri hiburan Malaysia yang paling lama sejarahnya. Ia mengiktiraf tahap populariti seseorang atau sesebuah kumpulan berdasarkan pilihan peminat. Ini sekaligus membuktikan tahap populariti DOLLA yang memang diakui oleh para peminat.

Dengan itu mereka kembali dengan karya terbaharu berjudul DAMELO. Ditulis dalam Bahasa Sepanyol pada asalnya, lagu ini kemudian diolah ke dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita Sya dan diterbitkan oleh bintang hiphop tersohor, SonaOne.



“Walaupun lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, kami masih kekalkan beberapa bahagian dalam Bahasa Sepanyol sebagai penghormatan kepada penulis asal karya ini. Kami juga terpaksa belajar sedikit sebutan Bahasa Sepanyol daripada SonaOne dan adiknya untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan betul.

Selain itu kami juga suka bereksperimentasi dengan perkara baharu, malah kami juga mempunyai peminat dari Amerika Latin sekarang. Jadi masanya memang sesuai,” ujar kumpulan DOLLA tentang projek baharu ini.

"Kami sangat gembira dengan keluaran terbaharu ini! Ia satu kebanggan buat semua. Sebagai label yang mengembangkan sebuah kumpulan A-pop wanita, memenuhi piawaian serantau dan dunia memerlukan usaha yang banyak dari ekosistem keseluruhan termasuk dedikasi dari DOLLA dan pasukan Universal Music sendiri. Hasil kerja ini terserlah dalam muzik, kerjasama jenama serta pengumuman konsert yang akan diumumkan tak lama lagi,"ujar Kim Lim, Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia.


Turut gembira dengan projek ini adalah Hermond Cheng, Pengarah, A&R dan Pemasaran serta Ketua Def Jam Recordings Malaysia.

“Tahniah DOLLA! DAMELO adalah karya yang segar dan sesuai zamannya. Saya bangga bersama anda dari mula dan segala kejayaan aneka platinum yang pernah anda kecapi memang layak diterima. Saya tak sabar mengambil langkah seterusnya bersama anda untuk menakluk pasaran Asia!” tambah Hermond.

Lagu yang mempunyai judul dalam Bahasa Sepanyol ini mempunyai banyak makna buat empat gadis berbakat ini.


“Lagu ini tentang melakukan apa i sahaja untuk mencapai sesuatu. Dan untuk melakukan semua ini, kami menggunakan kebolehan serta tenaga kami sebagai wanita.

Jika anda dengar lagu ini dengan betul, ia sebenarnya lagu kami yang paling feminin dan lantang bersuara mengenai pemerkasaan wanita” tambah mereka.

Lagu yang mengambil masa beberapa sesi untuk disiapkan ini juga hadir dengan sebuah video muzik menarik yang menampilkan visual sesuai dengan album penuh mereka yang akan terbit tak lama lagi.



“Video muzik buat DAMELO merupakan satu langkah besar buat kami. Ia menampilkan sisi lain kami yang lebih matang. Ia menampilkan banyak unsur seperti padang pasir dan air dengan beberapa babak tarian juga. Kami mahukan sesuatu yang baharu dan luar biasa jadi kami cuba selitkan beberapa kejutan dalam video ini.

Kami berikan sepenuh kepercayaan kepada Pyqul dan Tessera Productions untuk menghasilkan watak penjahat Sepanyol yang mereka berikan dengan baik. Pasukan itu muda, segar dan berjaya hasilkan video yang sangat hebat dan sesuai dengan lagu. Kami sangat gembira dengan video ini dan berharap semua orang akan menyukainya juga,” jelas DOLLA tentang video muzik ini.


Namun, semuanya ada cabaran. Mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa isu semasa penggambaran video muzik. “Kami terpaksa beraksi di padang pasir dan sebuah bengkel yang sangat panas! Bayangkan kami terpaksa menari dan beraksi dengan lampu yang banyak selama berjam-jam di bawah sinar matahari. Tepukan buat pasukan penerbitan serta para penari kami yang mampu bertahan dengan kepanasan tika itu dan masih kelihatan hebat dalam video.

Walaupun panas, ia mula hujan sewaktu kami merakam babak bengkel dan gara-gara itu kami mengambil waktu lebih lama untuk menyiapkannya. Tapi secara umum ia satu pengalaman yang hebat berkat perancangan yang baik oleh pasukan penerbitan,” tambah mereka lagi.

DOLLA berharap DAMELO akan membenarkan mereka mendekati lebih banyak pendengar serta peminat antarabangsa.



“Kami tak pernah mencuba genre ini sepenuhnya dan berharap karya ini akan mencapai pasaran baharu. Ia juga lagu yang bagus untuk dinikmati di festival EDF. Harap semua akan menyukainya seperti kami,” ujar mereka menutup bicara.