SOSIAL MEDIA

29 July, 2023

LIFE PETAL TERUS MENGORAK LANGKAH DENGAN ' WARKAH 2023 '


Life Petal bermula tahun 2013 sehingga kini telah membuktikan bahawa mereka begitu serius dan ingin menjadikan muzik sebagai karier mereka. Hasil usaha keras mereka sebuah lagi single berjudul ' Warkah 2023 '.

Menurut vokalis Life Petal, Zax Ramli, “Sebenarnya ini adalah lagu single solo saya bertajuk ‘Warkah Hati Buat Sang Puteri’ yang diterbitkan pada tahun 2010 tetapi diliris semula pada tahun 2023 dengan pembaharuan dari segi arrangements dan bunyi yang lebih moden. Lagu ini dirakam secara duet untuk melambangkan adanya dua vokalis di dalam band Life Petal ini,” katanya.

“Saya bersama anggota Life Petal yang lain bersetuju untuk ‘melamar’ Zax yang mana beliau juga penulis dan penyanyi asal lagu ini. Kami menginginkan lagu ini diberi nafas baharu tetapi kita tetapkan dengan melodi yang lama. Mulanya Zax kurang setuju dengan idea itu disebabkan arrangement asal bergenre pop tetapi atas keyakinan Zax, beliau hasilkan dengan versi Life Petal berentak Rockestra.” Jelas Luqman Hakim atau mesra dengan panggilan Man.

Selain Luqman selaku pemain keyboard, kumpulan ini juga turut dikuatkan dengan enam anggota lain, Zax Ramli (penyanyi utama), Farah (penyanyi kedua), Satria (gitar pertama), Nazzsym (gitar kedua), Lee (drum) dan Azim (bass).

Mengakui bukan mudah untuk mencapai persetujuan dalam sebuah kumpulan, jelasnya sama seperti kumpulan muzik yang lain mereka turut berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sebagai penyanyi utama, Zax menghadapi cabaran untuk merakamkan single ini kerana menurut beliau ianya bukan sesuatu yang mudah untuk rakaman secara duet berbanding rakaman secara solo.

“Sebagai ahli muzik kita harus tahu bagaimana hendak mengubah lagu solo kepada duet terutama sekali rakan duet saya penyanyi wanita. Kita perlu faham sebaik mungkin kerana key wanita jauh berbeza untuk kita synchronize bersama vokal lelaki lebih-lebih lagi jika vocal key berada di tahap zone selesa mereka.

“Farah pernah memberitahu bahawa dia juga merasakan kesusahan untuk membawa lagu tersebut terutama di bahagian nada lenggok dalam lagu ini. Tetapi saya gembira dan berpuas hati apabila Farah dapat menyampaikan lagu ini dengan baik dan sempurna.” Ujar Zax.


Tambah Zax lagi, lagu yang mengisarkan tentang hidupnya dijadikan memoir buat dirinya selain beliau ingin berkongsi kisah kepada para pendengar dan peminat Life petal.

“Ya, lagu ini mengisahkan tentang kehidupan sebenar saya. Dahulu saya pernah menjalinkan hubungan bersama seorang wanita tetapi disebabkan berlainan darjat dari segi kedudukan, maka jodoh kami terputus di pertengahan jalan. Ianya satu memori yang sangat pahit dan kisah silam ini saya luahkan melalui lagu. Lagu ini akan menjadi satu memori buat saya selain berkongsi kepada pendengar di luar sana.”

Sementara itu, Life Petal lebih selesa bergerak secara sendiri dan bebas untuk mengatur persembahan pentas samaada gig atau konsert tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

“Sebenarnya saya boleh uruskan semua ini tetapi saya pun ada had untuk buat segala urusan. Saya berfikir ada lebih baik jika dapat berkolaborasi bersama Life Records Malaysia sebagai publisher and distributor. Dahulu kami di bawah naungan Kraton Music Publishing yang bertapak di Singapura tetapi kami mengambil keputusan untuk keluar dari syarikat tersebut disebab kami mahukan pasaran yang lebih luas di Malaysia.

“Alhamdulillah, dengan adanya wahana media, Warkah 2023 dapat diterima peminat dan pendengar. Saya juga berterima kasih kerana bermulanya dari corong-corong radio seperti RTM, ERA Fm, Cats Fm dan juga Manis FM yang sudi memutarkan lagu kami sehingga dikenali ramai.

“Saya juga bersyukur apabila video muzik yang telah dilancarkan di Youtube sudah mencecah 13,000 tontonan setakat ini dan amatlah terharu apabila adanya sokongan yang positif terhadap material terbaharu kami ini. Saya dan Life Petal juga telah menunaikan permintaan peminat dari Malaysia yang menginginkan lagu Warkah 2023 ini dihasilkan dalam versi band.” Jelas Man.

Walaupun Life Petal sudah bertapak lama di dalam industri muzik, namun ramai yang masih tidak tahu kewujudannya. Menurut Man, Mereka hasilkan setiap lagu baharu hanya kerana untuk menghiburkan masyarakat dan tidak terfikir untuk menjurus ke arah mencari kepopulariti.

“Untuk menjawab soalan itu, sebenarnya banyak kekangan dan halangan buat Life Petal apabila Pandemik Covid melanda seluruh dunia. Single ke-6 kami berjudul ‘Pilu’ yang dikeluarkan tahun 2019 pernah dilamar oleh seorang pengarah drama untuk jadikan OST drama berkenaan tetapi tidak kesampaian disebabkan pandemik.

“Pernah juga stesen TV3 mengundang kami untuk segment Borak Kopitiam tetapi pada tarikh yang sepatutnya kami berada di sana, sempadan Malaysia dan Singapura ditutup disebabkan PKP, dan banyak lagi beberapa projek Life Petal tergendala.” Katanya.

“Buat masa sekarang ini, saya bekerja seperti biasa dan kalau kita mengharapkan muzik sahaja belum tentu akan dapat menampung kehidupan harian saya. Semua anggota Life Petal ada kerjaya masing-masing dan kami menjadikan muzik ini sebagai minat dan juga medan pertemuan demi mengeratkan ukhwah sesama ahli.” Jelas Zax.

Bagi pemain bass, beliau bersetuju dengan pendapat Zax kerana setiap anggota Life Petal mempunyai komitmen tersendiri dari segi tugas hakiki yang dilakukan sepenuh masa, keluarga dan sebagainya.

“Walaupun Life Petal sibuk dengan tugas masing-masing, tetapi kami tetap meluangkan masa untuk berjumpa dan mengadakan sesi latihan (jamming session), diskusi mengenai perancangan seterusnya seperti menyediakan material baharu, persembahan gig ataupun konsert yang boleh mengembangkan lagi nama Life Petal agar dikenali ramai.” Ujar Azim mengakhiri perbualan.