SOSIAL MEDIA

25 July, 2023

KONSERT NURKASIH MENDEKATKAN SLAM DENGAN PEMINAT

Tidak perlu dinafikan ‘aura’ kumpulan Slam hingga masih kekal relevan sehingga kini, jadi tidak hairanlah mengapa setiap kali kemunculan mereka sentiasa mendapat sambutan hebat daripada peminat-peminat setia mereka.

Diam tak diam Slam telah bertapak lebih 3 dekad dalam industri seni hiburan tempatan. Lantaran itu Zamani, Shah, Eddie, Lili dan Man berharap peminat-peminat mereka terus memberi sokongan padu.

Kejayaan demi kejayaan diraih kumpulan Slam, kini sekali lagi di beri kepercayaan untuk menjayakan sebuah konsert yang berprestij di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2023 nanti.

“Buat masa ini kami telah bersedia meskipun masih dalam proses menyusun senarai lagu yang akan di persembahkan, namun begitu ianya telah mencakupi 60 peratus persediaan cuma ada beberapa lagu yang akan di buat arrangement yang sesuai bagi setiap karya yang ingin dipersembahkan,”

“Tiada istilah ala kadar untuk konsert ini, sepertimana yang peminat sedia maklum bahawa kami cukup serius demi memberikan kepuasan kepada penonton. Ianya termasuklah elemen tambahan membabitkan susunan muzik, penataan cahaya dan khidmat pemuzik tambahan menjadi ramuan rahsia pada konsert berkenaan”, ujar Shah ketika ditemui media di Ukay Perdana pada 20 Julai lalu.

Shah atau nama sebenar, Shah Nizam Abdul Halim turut berkata mungkin ada beberapa lagu yang tidak pernah persembahkan akan dimainkan ketika konsert tersebut.

“Kalau diikutkan, lagu Slam kebanyakannya agak perlahan. Setiap kali menjayakan konsert, pasti ada peminat bertanya mengenai kelainan atau susunan muzik yang bakal dibawa, jadi, untuk semua peminat yang datang ke Konsert Slam Nurkasih, mereka akan rasai kelainan yang cuba dibawa dalam segenap sudut persembahan”, ujarnya

“Konsert kali ini diberi judul ‘NurKasih’ yang juga merupakan salah satu judul lagu hits kumpulan Slam, ia membawa maksud curahan kasih sayang kami kepada peminat yang selama ini tidak putus-putus menyokong serta memberikan cahaya (Nur) kepada kami” ujarnya lagi.

“Bagaimanapun, untuk lagu bergenre balada, kami tidak boleh membuat perubahan yang begitu besar kerana boleh mencacatkan susunannya. Pada masa berbaki ini, kami akan beri kelainan pada setiap susunan lagu yang akan dibawa pada malam itu,”


“Konsert ‘NurKasih’ tidak sama dengan konsert Slam 30 tahun yang telah berlangsung di Singapura baru-baru ini. Konsert tersebut bagi kami ianya cukup ‘berat’ namun berbeza dengan konsert ini dimana ianya lebih santai dan yang penting lagu-lagu yang bakal dipersembahkan cukup dekat di hati para peminat”, ujar Zamani selaku vokalis Slam.

Zamani yang akan mendendangkan antara 18 lagu hingga 20 lagu pada konsert itu berkata, kesihatannya stabil untuk beraksi kelak.

“Susunan lagu pada Konsert Slam Nurkasih dibuat mengikut kesesuaian dan kemampuan vokal saya ketika ini. Saya harap semuanya lancar. Alhamdulillah, setakat ini, keadaan fizikal saya baik dan diharap dapat terus mengekalkannya menjelang konsert. Namun, tidak dinafikan, risau itu ada”, ujarnya.

“Tahap kesihatan saya semakin hari semakin baik, cuma masih perlu menjaga suara, InshaAllah saya akan memberikan yang terbaik buat semua peminat. Apa yang penting kita kena sama-sama berdoa agar semuanya lancar seperti yang dirancang” katanya.

Konsert Slam Nurkasih yang dibawa AV Group & WMD Event menawarkan tiket bermula RM198. Tiket boleh didapati menerusi pautan ilassotickets.com/event/konsert-slam-nurkasih/.

Penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan hebat selama lebih dua jam, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, antaranya empat buah gitar (dua elektrik, dua akustik) yang ditaja khas oleh PBH MUSIC Sdn Bhd.