Lagenda kumpulan rock yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu SWEET CHARITY yang dibarisi oleh Ramli Sarip, Rosli mohalim, Rahman Sarbani dan Ahmad Jaafar kembali me RIBUT kan Stadium Arena Larkin, Johor Bahru dengan Konsert Berita Gempa.
Konsert Sweet Charity Berita Gempa merupakan satu penghormatan untuk meraikan lagenda rock Nusantara ini.
Sejarah Sweet Charity, seawal tahun 1969 mereka sudah bersama dengan anggota asal iaitu Dato Ramli Sarip dan Rahman Sarbani, kemudian Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar menyertai mereka pada lewat 70-an sebelum album pertama dikeluarkan pada 1979.
Legenda ini menghasilkan enam album bersama Ramli sehingga 1985 sebelum Ramli mengambil keputusan keluar dan bergerak solo manakala Rosli Mohalim dan Sweet Charity meneruskan perjuangan dengan vokalis wanita, Zaiton, untuk album terakhir iaitu ‘Sweet Charity 88’ yang telah diriliskan pada 1988.
Pembukaan pentas dengan alat musik tradisional Angklung oleh saudara Max mendendangkan tiga buah lagu iaitu Sri Mersing, Lemak Manis dan Kita Insan Biasa yang di sampaikan secara instrumental.
Muncul sekitar 9 malam meleraikan resah peminat mereka yang terdiri daripada golongan muda dan tua dengan pakej lengkap dan menarik mulai daripada persembahan, instrumentasi, visual, sistem bunyi dan pencahayaan sehingga imej serta skrin layar gergasi di atas pentas.
Persembahan Datuk Ramli Sarip selaku vokalis, Rahman Sarbani (pemain dram), Rosli Mohalim (gitaris) serta Ahmad Jaafar (kibodis/vokalis kedua) yang merupakan anggota klasik kumpulan ini dibantu seorang lagi gitaris dan kibodis serta pemain alat perkusi ternyata bertenaga sehingga membuatkan penonton 'jadi gila' dan turut menari bersama, namun persembahan masih dalam keadaan terkawal.
Konsert Berita Gempa dimulakan dengan persembahan pembukaan tiga lagu malar segar sehingga ke hari ini iaitu Di Tahun 2000, Pelarian dan Hilang Gelap Terbitlah Terang yang seakan lagu 'pemanas badan'.
Apabila lagu Dekatlah Padaku, Dunia Perlumbaan dan Sejuta Wajah yang mempunyai tempo perlahan dan rancak, sitausi berubah dan seakan meledakkan emosi penonton malam tadi apabila ramai yang menyanyikannya bersama-sama.
Stadium Arena Larkin digegarkan lagi dengan lagu Berita Gempa dan Musibah sebelum lagu Bagaikan Bermimpi, Terharu dan Jalan Malam dinyanyikan oleh AJ dengan lagu Jalan Malam berduet dengan Rosli.
Lagenda rock yang mempunyai tujuh album studio sejak 1979 itu turut mendendangkan lagu-lagu mereka yang pernah popular dan berkumandang di corong-corong radio satu ketika dahulu seperti Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama dan Raja Kumbang.
Sebelum mengakhiri konsert Berita Gempa ini kumpulan Sweet Charity mendendangkan antara lagu ' Killer Songs ' yang amat dinanti nantikan oleh peminat peminat mereka. Ribut 10.59 , Kamelia dan Teratai membuatkan peminat menyanyi bersama sama.
Namun pengakhiran tidak hanya di situ apabila peminat meminta lagi lagu dan maka lagu PENUNGGU menjadi penutup konsert.
Secara keseluruhan sebanyak 25 lagu dibawakan untuk persembahan istimewa itu dan konsert anjuran Megatix Malaysia dengan kerjasama Tourism Johor dan LampuNeon selaku Promoter yang melabuhkan tirai pada jam 12 tengah malam.
Lagenda rock dari Singapura itu memukau lebih 3,000 penonton dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Singapura dan Brunei, konsert tersebut merupakan jelajah seni terbaharu mereka sebelum ke Singapura selepas ini.