Artis Hip-Hop Wanita Tanah Air Kembali Dengan Single Terbaharu Setelah Hampir Setahun Tidak Muncul Dengan Mana-Mana Karya
KUALA LUMPUR, 2 Jun 2023 - Ibarat pepatah Melayu yang masyuhur “diam-diam ubi berisi” begitulah diibaratkan buat artis hip-hop wanita tanah air bertubuh genit dan bersemangat waja, Kayda Aziz, hampir setahun tidak muncul dengan mana-mana karya, kini beliau kembali dengan single hip-hop terbaharu berjudul ‘LEN MACAM’ hasil nukilannya sendiri dengan komposer muda berbakat, DJ Ziqq.
“Saya anggap lagu ini ibarat kelahiran semula saya setelah sekian lama tidak menghasilkan single baharu,” ujar pemilik nama sebenar Wan Nur Khaleda Aziz, 31 tahun.
Bintang Mamee Chef Mi Goreng Rendang Lagenda bersama bondanya ini lebih banyak menghabiskan masa merakam lagu-lagu baharu selain meluangkan masa bersama keluarga tercinta dengan bercuti di luar negara.
Jelas Kayda, “Saya mengambil masa untuk diri sendiri dengan memikirkan tentang kehidupan dan kerjaya kerana banyak yang telah saya lalui dalam kehidupan peribadi dan juga profesional, kini saya kembali dengan lebih kuat, bijak dan baik dari sebelumnya.
“Lagu ini menyaksikan transformasi saya sebagai seorang individu yang baharu dan dinaik taraf. Saya sering mendengar rakan-rakan dan keluarga menyebut ayat LEN MACAM ketika berborak, jadi saya rasakan ia idea yang bagus jika dijadikan lagu, manakala melodinya pula terinspirasi daripada lagu yang dibawakan oleh penyanyi Latin antarabangsa, Rosalía.
Lagu yang bergenre hip-hop ini ada unsur pop, RNB dan juga muzik reggae yang menambah perisa dalam karya yang easy-listening dan sing-along ini, dan Kayda hanya mengambil masa selama 4 jam untuk merakamkan lagu ini dalam dua versi iaitu Melayu dan Inggeris.
“Selain proses rakaman lagu, rakaman MV (video muzik) berlarutan sehingga 20 jam yang memaparkan pelbagai visual dengan tujuh persalinan yang berbeza oleh pereka fesyen terkenal, Gillian Hung, Afiq M dan pereka hiasan kepala, Bremen Wong.
“Fesyen dan muzik sentiasa seiringan dengan saya, saya mahukan sebuah tema yang ceria dan menarik bagi menggambarkan keraian dan kekuatan, segalanya telah dilaksanakan oleh team Black Visuals Production,” tambah Kayda.
Sebagai anak seni, Kayda mahu menjadi artis multi-genre walaupun memulakan kerjayanya dengan muzik hip-hop, kerana kebanyakan lagu-lagu yang dihasilkannya sebelum ini mempunyai unsur, pop, RNB dan juga dansa.
“Sepanjang berada dalam industri muzik, banyak telah saya lalui, antara cabaran yang sering saya hadapi apabila dilaga-lagakan dengan rakan se-industri, manakala sebagai artis hip-hop saya juga turut dibandingkan dengan penyanyi rap lain yang ada di luar sana.
“Sebagai seorang wanita, kami sering berdepan dengan stigma dan mentaliti yang kaum hawa perlu akur kepada lelaki walaupun pintar, berbakat dan bersifat kendiri, ini sedikit sebanyak memberikan tekanan.
“Namun begitu, saya percaya dengan diri sendiri dan sentiasa memperbaiki diri di samping belajar menjadi lebih matang dalam apa jua situasi, anggaplah lagu LEN MACAM ini metamorfosis saya kepada Kayda yang baharu, semoga lagu ini dapat diterima oleh semua, dan juga kepada seluruh penggemar muzik.