KUALA LUMPUR, 23 Jun 2023 - Arus teknologi masa kini telah menyahbataskan sempadan yang dahulunya sukar direntas, kini, dengan adanya medium media sosial, ramai bakat-bakat baharu industri muzik dicungkil melalui TikTok, Instagram, Facebook dan juga YouTube.
Bagi pendatang baharu, Muhammad Hazzroul Ashryaf Hasril atau mahu dikenali dengan nama Ash Fasryll, 23 tahun, katanya, “Pada mulanya pihak TikTok Malaysia menghubungi saya untuk merakamkan lagu cover nyanyian Andmesh Kamaleng berjudul ‘Nyaman’ dengan susuan muzik yang lebih segar hasil gubahan komposer terkenal, Aubrey Suwito. Tanpa disangka, lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa dengan hampir setengah juta penstriman di Spotify dan telah digunakan oleh ramai artis popular negara.
Sebagai kemunculan perdananya, Ash kini hadir dengan single berjudul ‘MELAWAN SUNYI’ hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer Aubrey Suwito yang bertanggungjawab menggubah semula lagu Nyaman.
“Saya mula menyanyi ketika kecil lagi sewaktu berada di sekolah rendah, saya sering membuat persembahan ketika sambutan Hari Guru, perayaan dan sebagainya. Selain itu, saya juga aktif menyertai pelbagai pertandingan menyanyi dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Setelah selesai SPM, saya rajin menghasilkan lagu-lagu cover yang dimuat naik ke media sosial, dari situlah bakat saya mula dilihat sehinggalah saya dilamar oleh pihak TikTok Malaysia dan bermulalah segala-galanya,” ujar pelajar tahun akhir dalam bidang Kejuruteraan Awam di UiTM.
Lagu MELAWAN SUNYI yang bernuansa pop balada ini menceritakan tentang kisah dua insan yang pernah bercinta dan kini hubungan tersebut telah telerai, kini kedua-duanya ibarat orang asing yang tidak pernah mengenali satu sama lain, namun begitu salah seorang dari mereka masih mengharapkan cinta mereka agar kembali berputik meskipun hatinya telah hancur berderai.
“Karya ini berdasarkan dari kisah cinta saya sendiri yang saya terjemahkan ke dalam lagu, Aubrey banyak memberi tunjuk ajar dari segi konsep serta idea yang sesuai dengan lagu ini.
“Proses rakaman hanya memakan masa selama sehari di di Studio Cranky Music, milik Aubrey. Banyak yang saya pelajari ketika proses rakaman berlangsung, bagaimana hendak menjiwai sesebuah karya, cara nyanyian dan juga aspek teknikaliti berkaitan tona suara.
“MV (video muzik) single ini pula lebih menggambarkan situasi golongan kekasih yang menghadapi perkara sama yang berkait rapat dengan bait-bait liriknya,” tambah Ash lagi.
Sebagai pendatang baharu, masih jauh lagi perjalanan yang harus ditempuhi oleh Ash, katanya, “Saya mahu menjadi seorang penyanyi yang tersendiri dan tidak kedengaran seperti orang lain, tidak sabarnya saya untuk bereksperimentasi dengan pelbagai genre muzik yang ada di luar sana.
“Saya berharap agar para pendengar dapat menerima karya ini dan sentiasa menyokong perjalanan muzik saya yang baharu sahaja bermula, semoga lagu MELAWAN SUNYI ini dapat membuat pendengar rasa bahawa mereka tidak keseorangan dan segala perasaan yang pernah mereka alami itu wujud dan tidak wajar diendahkan begitu sahaja.